Saturday, March 22, 2008

Kanser - Permulaan kisah hidup yang baru

Sejauh mana pemahaman kita mengenai kanser? Adakah kita tidak peka kerana kita atau keluarga/rakan terdekat kita tidak menghidapinya. Bagaimana pula reaksi kita untuk berhadapan dengannya apabila individu-individu yang kita kenali menghidapinya? Atau, bagaimana pula reaksi kita apabila kita didiagnosis dengan penyakit kanser.

Ajal maut di tangan Allah yang Maha Kuasa, namun penyakit kanser ini mampu membunuh terutama sekali jika tidak dapat dikesan pada peringkat awal. Terima kasih juga pada kemajuan teknologi perubatan yang sekarang dapat menghasilkan rawatan dan ubat yang mampu untuk memanjangkan jangka hayat pesakit kanser, juga berkeupayaan menyembuhkan kanser sekiranya rawatan dijalankan dengan teratur.

Mengenali seorang individu yang juga pesakit kanser tahap ke 3, begitu menginsafkan saya. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan aturan Allah yang Maha Kuasa ini memang ada hikmahnya. Membuatkan saya lebih menghargai dan mensyukuri apa yang saya miliki dan lalui sekarang.

Lazimnya seorang pesakit kanser pada tahap ini, amatlah lemah dari segi fizikal, mental dan rohaninya. Hari-hari yang mendatang bagaikan satu bonus dan peluang kedua yang tidak mungkin disia-siakan lagi. Segala ubat dan rawatan hanyalah untuk menahan rasa kesakitan. Peluang untuk sembuh sepenuhnya sangat nipis kecuali dengan keajaiban dari Allah. Semangat dan dorongan sangat-sangat diperlukan daripada keluarga dan rakan-rakan untuk menambahkan kekuatan dalam diri.

Perasaan seorang pesakit kanser juga sangat sensitif. Mereka tidak mampu menerima tekanan dari semua sudut. Setiap tekanan yang mereka hadapi akan mengurangkan peluang mereka untuk sembuh. Amat penting bagi kita supaya memahami dan menyelami apa yang tersirat di sudut kecil hatinya. Kata-kata perangsang dan semangat amat diperlukan. Dan paling penting, berkongsi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Inilah yang amat diperlukan sewaktu menghadapi saat-saat sukar menghadapi hakikat menghidapi penyakit kanser.

Berdoa dan memperbanyakkan amalan kerohanian amatlah digalakkan supaya hati lebih tenang dan redha dengan segala ujian yang datang dari Allah. Dan meneruskan hari-hari seterusnya dengan hati yang terbuka. Dunia ini sememangnya pinjaman, dan bersyukurlah kerana mendapat petanda supaya bersedia menanti hari-hari yang masih berbaki. Berbanding dengan saya dan kebanyakan daripada kita, yang sekarang ini masih sihat (alhamdulillah) namun tidak tahu bila pula giliran kita.


>>Video Klip UNGU-Andai ku tahu..


No comments: